Skuter Retro CFMoto 150 Aura Diperkenalkan (Luar Negara)
Skuter retro akan sentiasa mendapat tempat di hati penggemar di mana-mana sahaja. Walaupun Vespa mendahului dalam segmen ini, hampir setiap pengeluar motosikal mempunyai model skuter retro. Kini, giliran CFMoto dengan melancarkan CFMoto 150 Aura.
Bentuk badannya mungkin agak serupa dengan Lambretta era 1960-an pada pandangan pertama, tetapi pemeriksaan lebih dekat mendedahkan bahawa 150 Aura ini dipenuhi dengan ciri-ciri moden.
Ciri-ciri utama
- Enjin 150cc, satu silinder, penyejuk cecair yang menghasilkan 15.8 hp dan 14.2 Nm tork.
- Transmisi menggunakan CVT, semestinya.
- Kedua-dua roda berukuran 12 inci.
- Brek cakera di depan dan belakang, disokong oleh ABS dual-channel.
- Skrin TFT segi empat 6.2 inci dengan semua ciri wajib termasuk sistem pemantauan tekanan tayar, serta navigasi skrin penuh melalui aplikasi Motoplay.
- Kamera dashcam terbina di depan dan belakang. Rakaman boleh dimuat turun melalui aplikasi Motoplay.
- Sistem penghidup bukan sahaja tanpa kunci, malah menggunakan NFC (telefon anda).
- Ruang penyimpanan di bawah tempat duduk boleh memuatkan helmet full face dan open face.
Sumber tidak menyatakan harga CFMoto 150 Aura, tetapi dijangkakan sekitar RM7,000 mungkin hampir tepat. Persoalannya sekarang ialah sama ada pengedar di Malaysia, MForce Bike Holdings, akan membawanya ke Malaysia. Kami yakin ia akan mendapat sambutan besar selain banyak unit yang akan diubah suai (customise).