Ducati Multistrada V2 (2025) Telah Tiba di Malaysia
Ducati Multistrada V2 (2025) baharu telah tiba di Malaysia.
Ducati Malaysia telah menganjurkan pratonton eksklusif untuk Multistrada V2 dan Panigale V2 2025 yang sangat dinanti-nantikan di ruang pameran utama Ducati, menandakan permulaan bab baharu dalam julat pertengahan Ducati. Acara yang diadakan sebelum hujung minggu Naza Automania Vol.3 itu, mengalu-alukan kehadiran Ducatisti terkemuka yang dijemput, ahli-ahli DOC Malaysia dan wakil-wakil rangkaian pengedar untuk melihat secara dekat evolusi terkini dua model yang paling terkenal dari Ducati.
“Barisan Panigale V2 dan Multistrada V2 merangkumi keseimbangan sempurna inovasi, prestasi dan gaya, sekali gus mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan pengalaman Ducati lebih mudah diakses oleh para penunggang motosikal di Malaysia. Kami amat menghargai sokongan daripada pengedar kami dan komuniti penunggang motosikal Malaysia seiring kami terus berkembang bersama,” kata Rizal Jailan, Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Holdings.
Sebagai ikhtisar, Multistrada V2 (2025) menampilkan enjin V-Twin 90° baharu (Ducati memanggilnya “L-Twin”) yang menggantikan Superquardro.
Engine highlights
- The new 890cc V2 (90º V-Twin) engine it entirely new, producing 115 hp at 10,750 RPM and 92 Nm at 8,250 RPM.
- Sistem injapnya menampilkan injap jenis spring yang serupa dengan enjin Granturismo V4, berbeza dengan sistem injap Desmo yang menjadi sinonim Ducati.
- Oleh yang demikian, selang penyelenggaraan kelegaan injap (valve clearance interval) telah dipanjangkan kepada 45,000 km.
- Transmisi 6-kelajuan yang lebih ringan dilengkapi Ducati Quick Shift 2.0.
- Langkah-langkah ini menjadikan enjin baharu itu hanya seberat 54.4 kg, iaitu 9.4 kg lebih ringan berbanding enjin Superquardro.
Ciri-ciri motosikal
Ducati Multistrada V2 (2025) mentakrifkan semula motosikal dua-alam saiz pertengahan Ducati dengan tumpuan yang lebih tajam terhadap kelincahan, keselesaan, dan kebolehcapaian. Dengan berat kering kini 18 kg lebih ringan pada hanya 199 kg, ia menggabungkan karakter enjin kembar dengan kepelbagaian sejati untuk kegunaan seharian.
Rekabentuk baharu memperhalus siluet Multistrada yang ikonik dengan “muncung” (beak) yang lebih pendek, aerodinamik bersepadu, dan ergonomik yang lebih baik. Manakala tempat duduk yang direka bentuk semula dan ketinggian boleh laras (serendah 790 mm pada model V2 S) memastikan keselesaan untuk setiap penunggang.
Pencahayaan Full-LED yang agresif, proporsi yang lebih ramping, dan penginapan penumpang yang dipertingkatkan menjadikannya bergaya dan praktikal untuk berkomuter, melancong, atau meneroka jalan-jalan kecil.
Casis monocoque aluminium dan suspensi panjangnya mengimbangi ketepatan di jalan raya dengan keupayaan off-road. Model V2 S memperkenalkan Suspensi Skyhook separa-aktif, pelarasan pramuat elektronik, serta pakej elektronik premium yang merangkumi pelbagai Mod Menunggang, Mod Maklumat yang boleh disesuaikan, ketersambungan telefon pintar, dan sistem bantuan keselamatan termaju seperti Cornering ABS, Kawalan Traksi Ducati (DTC), Kawalan Wheelie Ducati (DWC), dan Lampu Brek EVO. Secara keseluruhan, semua peningkatan ini menjadikan Multistrada V2 sebagai motosikal adventure-sport Ducati yang paling diperhalusi, intuitif dan serba boleh setakat ini.
Harga
Harga Ducati Multistrada V2 (2025) bermula daripada RM112,000 (untuk versi standard).