Honda CB750 (2025) Tiba di Malaysia
Boon Siew Honda (BSH) baru sahaja mengumumkan ketibaan Honda CB750 (2025) di Malaysia.
Honda CB750 (juga dikenali sebagai Hornet 750) ialah motosikal naked kelas pertengahan, yang juga boleh diistilahkan sebagai motosikal ‘standard’ hari ini. Walaubagaimanapun, selepas menguji model tahun sebelumnya, kami bersetuju bahawa wataknya lebih kepada streetfighter kerana prestasi enjinnya yang rancak dan pengendalian yang tangkas tanpa mengorbankan keselesaan setiap hari.
Kemaskini 2025 termasuk rekabentuk semula untuk menonjolkan watak streetfighter-nya secara terang-terangan, serta beberapa komponen baharu seperti quickshifter (pilihan), lampu depan dan suspensi.
Ciri-ciri
- Enjin 755cc, sejukan cecair, dua silinder selari, dengan aci engkol 270°, yang ditala untuk tork RPM rendah dan pertengahan yang lancar. (Enjin ini dikongsi dengan Transalp 750.)
- Ia menghasilkan 90.5 hp (67.5 kW) pada 9,500 RPM dan tork 75 Nm pada 7,250 RPM.
- Klac assist dan slipper, dengan quicksifter pilihan.
- Fork Showa SFF-BP dan monoshok Pro-Link.
- Brek cakera dan angkup brek empat omboh berkembar dipasang jejari di depan.
- Pendikit rider-by-wire membolehkan mod tunggangan: SPORT, STANDARD, RAIN dan USER.
- Mod USER membolehkan penunggang memperibadikan tahap Kuasa Enjin (EP), Brek Enjin (EB) dan sistem kawalan traksi Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan Kawalan Wheelie bersepadu.
- Paparan TFT warna penuh 5-inci yang menyediakan data yang tajam dan mudah dibaca.
- Paparan itu turut menampilkan Honda RoadSync yang bersambung ke aplikasi telefon pintar penunggang untuk paparan cuaca dan ramalan, navigasi, penstriman muzik, panggilan dan pemberitahuan mesej.
- Lampu depan projektor dwi LED baharu (seperti yang pada CB1000 yang lebih besar) yang menggandakan kecerahan.
- Penggayaan baharu dengan tangki bahan api berinspirasikan sayap, bahagian hadapan yang agresif dan ekor yang bersih untuk penampilan streetfighter yang lebih tajam.
- Rekabentuk tangki bahan api yang dipertingkatkan diilhamkan oleh sayap tebuan, manakala bahagian ekor yang padat dan hidung yang bersudut tajam melengkapkan bentuk yang agresif.
En. Kunitomo Asano, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda berkata, “CB750 telah sentiasa menonjol sebagai rekabentuk streetfighter yang agresif. Untuk tahun 2025, kami telah melangkah lebih jauh dengan dipertingkatkan rekabentuk, pengendalian yang lebih tajam dan teknologi tertumpu kepada penunggang untuk mencipta mesin yang berasa agresif seperti yang kelihatan.”
Honda CB750 2025 hadir dalam dua pilihan warna yang menarik: Matte Pearl Glare White dan Glint Wave Blue Metallic. Ia boleh didapati di semua pengedar Honda Big Wing di Malaysia, dengan harga bermula dari RM49,999.
Untuk maklumat lanjut, sila klik https://hondabigbike.com.my/model/cb750/ atau layari Honda Big Wing terdekat berhampiran anda. Pelanggan juga boleh menghubungi BSH melalui nombor bebas tol mereka di 1- 800-88-3993 untuk bercakap dengan wakil perhubungan pelanggan mereka.
Tunggang Uji dan Ulasan Honda CB750 Hornet