QJMotor AX200s (2025) – Tunggang Uji & Ulasan

Kami telah menguji skuter demi skuter sejak Disember 2024, termasuk di China dan Taiwan. Beberapa model juga telah dilancarkan di Malaysia dalam tempoh tersebut, salah satunya ialah QJMotor AX200s (2025).

Sejak itu, skuter ini telah mendapat reputasi yang cukup baik dalam segmen skuter ringan, dengan banyak ulasan memberikan pelbagai pujian; disertai dengan perkataan “mantap.”

Oleh itu, kami ingin menyiasat sendiri sama ada tuntutan itu benar atau tidak.

Apakah QJMotor AX200s (2025) ini?

AX200s dilancarkan pada Mei 2025, sebagai satu lagi model yang diedarkan oleh pengedar gergasi, MForce Bike Holdings.

QJMotor, juga dikenali sebagai Qianjiang Motorcycle, ialah pengeluar motosikal China yang ditubuhkan pada tahun 1985. Sejak itu, syarikat ini berkembang pesat dan kini mengendalikan jenama Keeway dan Benelli. QJ juga merupakan sebahagian daripada Geely Holding Group. Harley-Davidson pernah bekerjasama dengan QJMotor pada 2019 untuk menghasilkan motosikal berkuasa 338cc bagi pasaran Asia.

Beralih kepada AX200s, ia merupakan skuter automatik berkuasa kecil, tetapi lebih condong ke arah sekmen skuter sport, bukannya skuter adventure yang popular masa ini. Oleh itu, QJMotor tidak menyembunyikan niat motosikal ini dengan memberikannya rekabentuk yang tajam dan agresif.

Harus diakui, AX200s ini tidak dapat lari daripada perbandingan dengan Yamaha NVX akibat kemiripan gaya visual yang ditampilkan.

Ciri-ciri utama QJMotor AX200s (2025)

  • Enjin 175cc, silinder tunggal, SOHC, 4 injap yang menghasilkan 17.0 hp (13.0 kW) pada 8,500 RPM dan 15.2 Nm pada 6,500 RPM.
  • Suspensi depan menggunakan fork teleskopik, manakala suspensi belakang menggunakan penyerap hentak kembar dengan redaman minyak.
  • Cakera brek 230mm tunggal di depan, dan cakera brek 220mm tunggal di belakang.

  • ABS dwi saluran dan TCS (sistem kawalan traksi) yang boleh dinyahaktifkan.
  • Tayar depan bersaiz 100/80-14 dan yang belakang 120/70-14.
  • Ketinggian pelana penunggang 730mm.

  • Tangki minyak 10 liter.
  • Berat kering 127 kg.
  • Skrin LCD dengan “butang-butang” sentuhan (touchscreen).

  • Fungsi idle stop yang mematikan enjin ketika berhenti.
  • Pencahayaan LED.

Daripada sudut ciri, AX200s mendahului dalam beberapa aspek seperti kapasiti enjin yang menghasilkan kuasa dan tork maksimum lebih tinggi, dilengkapi brek cakera belakang, tangki minyak lebih besar, dan panel meter skrin sentuh. Yang kurang hanyalah ciri sambungan smartphone seperti Yamaha Y-Connect – tapi memang tak boleh dapat semua kelebihan sekali, kan?

Ulasan Tunggangan

Pra-tunggangan

Pendapat pertama kami terhadap QJMotor AX200s adalah betapa kompaknya skuter ini – begitu kecil sehingga mudah disalah anggap sebagai skuter 100cc. Jarak dari lampu depan ke lampu belakangnya pendek, hendalnya sempit, dan tempat duduk penumpang yang kecil. Ia betul-betul memberikannya rupa yang sporty tetapi comel.

Seperti skuter lain, semua komponen tersusun rapi di bawah panel badan yang direka dengan kemas. Dan bercakap tentang kemasan, apa pun pandangan anda tentang pengeluar motosikal China, skuter ini menunjukkan kualiti: Catnya sempurna, tiada sisi kasar pada plastik, dan bahagian logam mempunyai kemasan yang licin.

Kotak simpanan barang di depan agak kecil, hanya muat untuk telefon pintar saiz standard dan port pengecasan USB-C. Ruang penyimpanan di bawah tempat duduk juga terhad kerana rekabentuk luaran yang kompak.

Daripada segi instrumentasi, data dipaparkan pada skrin LCD warna yang cantik. Tulisan dan ikon begitu tajam sehingga ada yang menyangkanya skrin TFT. Tiada butang fizikal untuk menukar maklumat atau mematikan kawalan traksi, sebaliknya, anda perlu tekan “SET’ sehingga berkelip, kemudian ketik ikon “ADJ” untuk memilih. Sistem ini masih berfungsi walaupun memakai sarung tangan yang sesuai dengan skrin sentuh.

Tunggangan harian

Bagi penunggang ini yang berketinggian 167cm dengan kaki dan lengan yang pendek, kedua-dua kakinya dapat menjejak tanah dengan mudah. Hanya perlu berjungkit sedikit, tetapi tidak sampai seperti penari balet, berkat pelana yang rendah dan reka bentuknya yang menirus tajam ke bahagian depan. Walauapapun, pijakan tetap stabil, dan keringanan motosikal ini dapat dirasai serta-merta—mudah ditolak sambil duduk, walaupun ketika mendaki lereng yang landai.

Jarak ke hendal terasa pendek, terutamanya selepas beralih dari motosikal besar. Pada mulanya, kami berasa seperti siku kami tumbuh daripada dada! Namun, setelah membiasakan diri dan melebarkan siku sedikit, posisi menunggang menjadi lebih selesa dan semula jadi.

AX200s tetap sebuah skuter yang mudah—hanya perlu duduk, putar Smart Key ke posisi ON, hidupkan enjin, pulas pendikit, dan ia terus memecut. Tidak perlu membuang masa untuk memilih mod menunggang mahupun sistem sambungan telefon.

AX200s meluru laju daripada keadaan berhenti seperti kena renjatan, dan terus melaju selagi pendikit dibuka. Sekilas pandang cermin sisi—rupanya kami sudah meninggalkan semua kenderaan lain di lampu isyarat!

Keupayaan tork (pecutan) AX200s tidak terhad pada RPM rendah sahaja—enjinnya seolah-olah mempunyai rizab tork yang besar di mana-mana julat RPM sehingga kelajuan maksimum. Tindakbalas tork pantas ini memudahkan proses memotong kenderaan lain, sama ada di jalan biasa mahupun lebuh raya. Malah, kelajuan maksimumnya dicapai dengan begitu pantas.

Sebaliknya, apabila pendikit ditutup secara tiba-tiba, kesan brek enjin terasa kuat serta-merta. Ini menunjukkan motosikal ini menggunakan roller yang ringan dalam transmisi CVT-nya, oleh itu memberikan respon yang lebih agresif. Sebaliknya, roller yang berat melambatkan pecutan tetapi memberikan daya lajak apabila pendikit ditutup.

Hasilnya, respon pendikit terasa sedikit kasar ketika pertama kali dibuka atau ditutup dengan cepat, terutamanya ketika menunggang dalam keadaan trafik yang sesak. Namun, kami menyesuaikan diri dengan mengekalkan pendikit terbuka sedikit dan menarik brek secara perlahan-lahan.

Bagi sistem brek, ia sangat kuat. Keberatan kebanyakan skuter tertumpu di bahagian belakang, jadi brek belakang AX200s lebih berkuasa berbanding brek depan. Namun, itu tidak bermakna brek depan lemah, kerana dengan menggunakan brek depan sahaja pun sudah cukup untuk memberhentikan motosikal dengan stabil dan terkawal.

Satu lagi ciri yang kami sangat gemari ialah pengendaliannya. Memang tidak dinafikan skuter sebegini lazimnya mempunyai stereng yang lincah, tetapi AX200s turut mengekalkan kestabilan ketika mengambil selekoh – tidak seperti sesetengah skuter yang membuatkan hendal bergoyang. Hasilnya, kami begitu yakin bermain selekoh dengan laju seolah-olah menunggang motosikal yang lebih besar.

Tambahan lagi, kelegaan bumi yang banyak ketika bermain selekoh amat mencukupi. Kami sengaja menguji sama ada topang tengah atau bahagian lain akan menggesel permukaan jalan ketika di selekoh tajam, namun tidak berjaya walaupun melalui selekoh 90 darjah pada kelajuan tinggi.

Prestasi kendalian yang baik ini disokong oleh sistem suspensi dan rangkanya. Fork depan kelihatan biasa, tetapi ia tidak ‘menyelam’ secara mendadak seperti kapal selam Titan walaupun ketika membrek keras yang mengaktifkan ABS. Kedua-dua penyerap hentakan belakang pula menawarkan ciri redaman berperingkat (progressive damping) yang sangat berguna terutama ketika di selekoh.

Walaupun begitu, suspensi skuter bandar seperti AX200s mempunyai jarak gerakan yang terhad berbanding skuter adventure. Kesannya, perjalanan berasa agak kasar ketika melalui lubang atau bonjolan tajam. Namun, ini masih lebih baik berbanding suspensi yang terlalu lembut sehingga membuatkan motosikal terayun-ayun seperti bot.

Yang menarik, enjin ini masih menjimatkan minyak walaupun kerap dipacu laju dan ciri idle stop dinyahaktifkan. Sepanjang tempoh ujian, kami hanya mengisi separuh tangki sekali—itu pun selepas mengambil motosikal dengan amaran bahan api rendah. Dengan tangki penuh 10 liter, AX200s mampu membawa anda merentasi jarak yang jauh tanpa masalah.

Oh ya, mengenai amaran bahan api rendah: AX200s akan menghidupkan lampu isyarat kecemasan secara automatik apabila paras minyak terlalu kritikal. Ini berfungsi sebagai peringatan kepada penunggang dan pengguna jalan lain bahawa enjin mungkin akan mati pada bila-bila masa. Yang menarik, sistem ini akan menyahaktifkan dirinya sendiri selepas anda mengisi minyak.

Kesimpulan

Kami benar-benar terhibur dan gembira semasa menguji AX200s. Skuter ini membuktikan mengapa skuter semakin popular masa kini—kemudahan menjadi faktor utama. Namun, AX200s menawarkan lebih daripada itu; ia memberikan keseronokan menunggang yang tulen, bahkan mampu menyegarkan semula minat penunggang motosikal ‘otai’ seperti kami.

Satu-satunya keluhan kami ialah ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang agak kecil, namun ia masih memadai untuk muat beg barang runcit tiga hari. Secara objektifnya, tidak semua orang perlu membawa komputer riba saban hari seperti kami.

Secara keseluruhannya, QJMotor AX200s (2025) merupakan produk yang bagus dan layak mendapat perhatian. Dengan harga bermula dari RM7,988 (harga belum termasuk pendaftaran & insurans), ia pasti menawarkan nilai yang menarik untuk prestasi dan keseronokan yang diberikannya.

Galeri foto