Tunggang Uji & Ulasan BMW R 12 nineT (2025)
Menunggang BMW R 12 nineT (2025) merupakan satu pengalaman yang menarik pada beberapa tahap. Bukan sahaja disebabkan faktor mekanikal, malah faktor luaran juga. Tambah lagi dengan melayan banyak soalan daripada orang lain. Mungkin soalan daripada anda juga, para pembaca kami.
Apakah BMW R 12 nineT (2025) ini?
Ia bermula pada tahun 2014, apabila BMW Motorrad memperkenalkan R nineT bagi memperingati ulang tahun ke-90 motosikal BMW. Direka bersama oleh BMW Motorrad dan legenda motosikal custom, Roland Sands, R nineT mempunyai rekabentuk moden klasik yang jelas dengan menghubungkannya kepada keturunan “R” Boxer BMW.
Yang pertama dihasilkan ialah R nineT, diikuti oleh beberapa varian berdasarkan platform yang sama: Urban GS, Racer, Scrambler, dan Pure.
Jadi, 10 tahun kemudian, BMW memperkenalkan platform R 12 baharu sebagai kesinambungan legasi R nineT. Mengikut jejak pendahulunya, varian nineT merupakan yang pertama diperkenalkan.
R12 nineT adalah sebuah roadster/standard/naked, berasaskan enjin Boxer 1170cc yang sama, tetapi membawa beberapa ciri baharu. Persamaan dengan model sebelumnya hanya setakat enjin.
Ciri-ciri utama
- Enjin 1170cc, yang disejukan udara/minyak, berkembar berlawanan mendatar (Boxer), yang menghasilkan kuasa maksimum 109 hp pada 7,000 RPM dan tork puncak 115 Nm pada 6,500 RPM.
- Sistem ekzos baharu direka dengan peredam krom berkembar.
- Kuasa enjin disalurkan melalui klac kering dengan camera tunggal, dan kemudian melalui kotak gear enam kelajuan.
- Fork terbalik Marzocchi 45mm di depan, boleh dilaras untuk prabeban spring, peredaman mampatan, dan peredaman lantunan.
- Monoshok dengan spring progresif di belakang, boleh dilaras untuk prabeban spring, peredaman mampatan, dan peredaman lantunan.
- Seperti semua model berenjin Boxer BMW, R 12 nineT menggunakan lengan ayun Paralever sebelah, tetapi kini lebih kukuh.
- Cakera brek depan 310mm berkembar, dicengkam oleh dua kaliper empat omboh.
- Satu cakera brek 265mm di bahagian belakang.
- Brek disokong oleh sistem BMW Motorrad Integral ABS Pro.
- Rangka keluli tiub baharu.
- Tangki bahan bakar aluminium.
- Ketinggian tempat duduk 795mm.
- Tiga mod menunggang iaitu RAIN, ROAD, dan DYNAMIC.
- Bantuan elektronik penunggang termasuk Dynamic Engine Brake Control, Dynamic Traction Control, Hill Hold Control.
Pra Tunggangan
Menatapi motosikal ini buat pertama kali, rupanya kelihatan serupa tetapi berbeza. BMW berjaya mengekalkan penampilan R nineT sebelumnya sambil melengkapkan model baharu ini dengan banyak kemaskini.
Setelah diperiksa dengan lebih teliti, kami perhatikan bahawa paip pengambilan udara yang menyerupai belalai siput telah dialihkan. Tempat duduk juga jelas lebih rendah, dengan bahagian belakang motosikal berada lebih rendah di atas roda belakang, memberikan rupa yang agak panjang dan rendah.
Roda motosikal ujian kami adalah tuangan aluminium, berbeza dengan roda jejari dawai dalam gambar rasmi BMW. Roda belakang menarik banyak perhatian, kerana kelihatan seperti shuriken.
Tangki bahan bakar sebahagiannya dicat, sementara bahagian sisinya dibiarkan dalam aluminium digilap. Ya, model R nineT sebelumnya mempunyai ciri ini, tetapi entah bagaimana ia kelihatan lebih cantik pada motosikal baharu ini.
R 12 nineT yang baharu ini merupakan motosikal yang tampan apabila dilihat dari sebarang sudut. Gambar memang tidak dapat menggambarkan kecantikannya dengan sepenuhnya.
Ia dilengkapi dengan meter bulat berkembar sangat cantik yang ada skrin LCD. Skrin ini mungkin kecil, tetapi aksara yang dipaparkan cukup besar untuk mudah dibaca. Menukar data yang dipaparkan dan penetapan dilakukan melalui alat suis pada hendal dan BMW Multi-Controller.
Ulasan tunggang uji
Menghidupkan enjin Boxer ini membuatkannya terhenjut ke satu sisi. Membuka pendikit juga menghasilkan sensasi sedemikian. Inilah sebenarnya cara enjin Boxer berfungsi, yang mengingatkan kami bahawa ia masih ‘hidup’. Sensasi sebegini telah lama hilang sejak pengenalan enjin Boxer “Water Head” (berpenyejuk cecair).
Sistem ekzos baharu ini kedengaran sedikit lebih lembut berbanding model sebelumnya, memandangkan kotak peredam dengan mangkin terletak di bawah kotak gear, yang menggantikan injap pengawal bunyi lama. Namun, dentuman unik enjin Boxer masih cukup kedengaran.
Berduduk di atas motosikal ini terus mengejutkan kami. Dibandingkan berjinjit-jinjit pada motosikal lama, kedua-dua kaki kini menyentuh tanah dengan mudah. Jangkauan ke hendal agak jauh bagi penulis yang bertangan dan berkaki pendek, tetapi masih terasa semula jadi. Hendal yang lebar itu menjadikan jangkauan lebih terbentang ketika membelok pada kelajuan rendah.
Dengan mod ROAD dipilih, kami memasukkan gear pertama – dan ia masuk dengan tepat, termasuk daripada segi bunyi.
Kami melepaskan tuas klac tarikan lembut dan terus bergerak, ‘meluncur’ di atas gelombang tork Boxer.
Maka bermulalah keseronokan menunggang
Dengan serta-merta, jelas bahawa perbincangan tentang kuasa kuda (hp) berbanding tork akan timbul apabila membincangkan motosikal ini. Walaupun kebanyakan orang menganggap angka kuasa kuda sesuatu yang paling penting, penggerak sebenar adalah tork enjin. Torklah yang menggerakkan motosikal (atau mana-mana kenderaan), memecutkannya, dan membina RPM untuk mencapai kuasa kuda maksimum.
Dan inilah masanya anda perlu memberi kredit kepada BMW kerana kekal dengan enjin Boxer. Motosikal ini terus meluru melalui mana-mana gear, sambil ‘bernyanyi’ dengan bunyi Boxer yang tersendiri. Kami tahu, ada yang mungkin mengatakan enjin “Oilhead” ini adalah “berteknologi rendah” berbanding enjin Boxer 1300cc, berpenyejuk cecair dan dilengkapi ShiftCam siri R, tetapi semua tanggapan itu hilang setiap kali kami membuka pendikit. Enjin ini mempunyai karakter.
Tidak lama kemudian, kami mendapati diri kami “meluncur” di Lebuhraya MEX pada kelajuan 140 km/j (dan ke atas) dengan kawalan pelayaran, sementara enjin hanya berdentum dengan gembira di antara kaki kami.
Bermain di selekoh
Kami biasanya berhati-hati di selekoh dengan motosikal yang rendah dan panjang. Biasanya, motosikal sebegini tidak gemar terjah selekoh, sebaliknya lebih suka dikemudikan dengan lancar ke dalam selekoh yang panjang dan lebar.
Walaubagaimanapun, mengemudikan R 12 nineT ke selekoh kanan dan kiri yang tajam di susur keluar ke Bukit Jalil membuatkan casis motosikal seolah-olah memberitahu kami yang kami terlalu perlahan, kerana motosikal ini dengan bersemangat mengemudi ke bahagian dalam selekoh-selekoh tersebut.
Jadi, daripada membelok ke Seri Petaling, kami mengambil keputusan untuk menguji dua selekoh yang menuju ke Plaza Tol Sungai Besi. Mengemudi ke selekoh pertama, sebuah selekoh kiri yang panjang, menyebabkan suspensi menurun ke perjalanan mampatan awalnya, membenarkan tayar mencengkam jalan dengan kuat. Dengan keyakinan yang diperoleh, kami menyongsang motosikal ke selekoh kanan berjejari mengecil di bawah terowong dengan pendikit ditutup melalui apex, sebelum membukanya kuat-kuat semasa keluar. Percayalah, R 12 nineT meletupkan selekoh itu setanding mana-mana motosikal sport naked moden.
Ini merupakan satu kejutan sepenuhnya bagi kami kerana motosikal ini tidak sepatutnya memiliki pengendalian sehebat ini, memandangkan ketinggian tempat duduknya yang rendah dan jarak roda yang panjang!
Ya, ya, enjin Boxer memainkan peranan besar dalam kelincahannya. Pencerca BMW sering memperolok-olokkan silinder yang terjuntai di sisi, tetapi kerana itulah pusat graviti enjin menjadi lebih rendah. Pusat graviti yang lebih rendah ini juga memberikan banyak kestabilan, terutamanya ketika menunggang pada kelajuan rendah. Inilah sebabnya pemilik BMW GS tidak mengeluh tentang tempat duduk yang tinggi ketika melalui kesesakan lalu lintas.
Apa pun, kami mengambil keputusan untuk melakukan lebih banyak ujian selekoh dan tempat terbaik adalah Lebuhraya SUKE dari Bukit Jalil ke Genting Klang, sebelum membelok ke SPE, kemudian ke Lebuhraya Kesas dan mendaki “Gunung”.
Lebuhraya SUKE merupakan laluan yang sesuai untuk menguji bagaimana casis motosikal mengendalikan selekoh yang berbonggol-bonggol dan beralun. Sementara motosikal lain melantun-lantun atas bonggolan, R 12 nineT ini sangat lancar. Ini dicapai TANPA sistem suspensi elektronik BMW Dynamic ESA.
Sebaliknya, SPE mempunyai beberapa selekoh yang tajam dan sempit, yang diselesaikan motosikal ini tanpa sekali pun menunjukkan kecenderungan untuk terbabas.
Lebuhraya Karak sememangnya sesuai untuk mengekalkan kelajuan melalui selekoh yang panjang, dan kami bertukar ke mod menunggang DYNAMIC, yang setara dengan mod Sport. Kini, enjin terasa benar-benar hidup, membolehkan kami merasai setiap detik lejang kuasa dan keagresifannya. Pada saat ini, motosikal terasa lebih seperti power cruiser apabila ia meluncur melalui selekoh sementara kami mengawal pendikit, dan menggunakan tork enjin untuk brek dan pecutan. Sudah tentu kami tidak mengejar superbike 1000cc, tetapi penunggang motosikal naked yang lebih ringan dan berkuasa ditunjukkan manfaat menunggang secara lancar.
Ketika mendaki gunung, kami sangat seronok memanfaatkan sepenuhnya brek yang hebat, stereng yang responsif, dan tork enin Boxer, sambil kami menderu dari satu selekoh ke selekoh seterusnya. Kami hampir tidak perlu menukar gear dan mengekalkan gear keempat melalui kebanyakan selekoh, sambil memilih gear kedua dan ketiga hanya sekali-sekala.
Satu-satunya perkara yang menghalang kami untuk menjadi lebih agresif ialah kebimbangan untuk menggesel kepala silinder di atas. Malah, aksesori pertama yang akan kami pasang jika memiliki motosikal ini (andai kata kami tiba-tiba mendapat panggilan bahawa seorang jutawan mewariskan harta kepada kami) ialah pelindung kepala silinder.
Berbicara tentang kotak gear, itulah satu-satunya kelemahan BMW R 12 nineT (2025). Melepaskan klac terlalu tergesa-gesa atau menggunakan Shift Assist (quickshifter) pada RPM yang agak rendah menyebabkan gear berbunyi berketuk ketika penukaran, dan boleh didengar oleh semua. Walaupun kami agresif, kami juga ingin memaparkan motosikal ujian dalam cahaya yang baik, jadi kami belajar untuk melepaskan tuas klac dengan lebih progresif, dan menggunakan quickshifter hanya di atas RPM pertengahan.
Penutup
Secara jujur, kami berasa sedih untuk memulangkan motosikal ini kerana sudah lama kami tidak merasai perasaan sebegini terhadap motosikal ujian. Malah, secara terus terang, kadangkala kami berasa jemu setelah menguji begitu banyak motosikal. Tidak, kami tidak mengatakan bahawa motosikal-motosikal itu tidak baik, malah hampir setiap motosikal yang kami uji dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini adalah cemerlang dalam hampir setiap aspek. Sebaliknya, apa yang membuatkan kami menyayangi BMW R 12 nineT adalah karakternya.
Dan oh, jangan lupa tentang banyaknya renungan dan pertanyaan yang kami terima ketika menguzi motosikal ini.
Harga BMW R 12 nineT (2025) bermula dari RM124,500.
Oh ya, tampang tanya: Berapakah harga buah pinggang di pasaran gelap sekarang…? (Sekadar bertanya untuk kawan.)