Jonathan Rea akan Bersara pada Hujung 2025
Juara Superbike Dunia (WorldSBK) enam kali, Jonathan Rea, telah mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada perlumbaan motosikal sepenuh masa pada akhir musim 2025.
“JR” yang berusia 38 tahun dan berasal dari Ireland Utara itu menyiarkan sebuah video di halaman Instagramnya untuk mengumumkan berita tersebut sambil menjelaskan sebab di sebalik keputusannya. Beliau juga membayangkan bahawa beliau akan masih terlibat dalam sukan permotoran namun dalam cara yang berbeza. Memandangkan Rea menyatakan beliau bersara daripada perlumbaan ‘sepenuh masa’, ini mungkin bermakna peranan sebagai pelumba ujian mungkin menantinya.
Rea adalah pelumba WorldSBK yang paling berjaya dalam sejarah setelah memenangi enam kejuaraan berturut-turut antara 2015 dan 2020 untuk Kawasaki, dan memegang rekod dengan 119 kemenangan sepanjang kerjaya WorldSBK beliau. Beliau juga mempunyai jumlah podium terbanyak – sebanyak 264.
Malangnya, dua musim terakhir amat mencabar setelah beliau bertukar ke Yamaha. Rea hanya sekali menjejakkan kaki ke podium pada tahun 2024, sebelum mengalami kecederaan semasa sesi ujian pra-musim tahun ini. Beliau mengalami pelbagai fraktur (patah) pada kaki kirinya dan terlepas tiga pusingan pertama.
“Sudah lama aku memikirkan tentang hari ini dan aku telah memutuskan untuk menarik diri daripada perlumbaan sepenuh masa dan bersara,” kata Rea di media sosial. “Sukan ini adalah segalanya buat aku sejak membesar sebagai kanak-kanak di Ireland Utara yang bermimpi untuk berumba motosikal, sehingga berdiri di tangga teratas Kejuaraan Dunia WorldSBK, memenangi perlumbaan dan kejuaraan dunia.
“Sepanjang kerjaya aku, aku hanya mempunyai satu matlamat, iaitu untuk menang. Mentaliti itu mentakrifkan siapa aku. Aku tidak pernah berumba sekadar untuk mencukupkan bilangan, aku berumba untuk menjadi yang terbaik. Tetapi tiba masanya untuk aku mendengar tubuh badanku, fikiranku, dan yang paling penting, naluriku.
R65,
“Jika aku tidak boleh berlumba untuk menang, maka tiba masanya untuk aku menarik diri. Aku masih mempunyai cinta yang sama terhadap sukan ini seperti hari pertama, sehingga ke hari ini. Aku amat berbangga dengan apa yang telah aku capai sepanjang kerjaya aku yang panjang; enam kejuaraan dunia, lebih daripada 100 kemenangan perlumbaan dan banyak lagi pencapaian lain sepanjang perjalanan ini.
“Ini adalah beberapa rekod yang tidak pernah aku bayangkan boleh terjadi, tetapi bukan rekod, trofi, atau kemenangan perlumbaan yang utama, tetapi orang-orang dan memori yang aku bawa bersama selama-lamanya. Aku mempunyai penghormatan untuk bekerja dengan beberapa pasukan, penaja dan jurutera yang hebat sepanjang kerjaya aku. Kalian semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini dan aku amat bersyukur kerana kalian membiarkan aku hidupkan impian aku.”
“Kepada keluarga aku, ibu dan ayah, adik-beradik, terima kasih banyak atas segala pengorbanan kalian pada peringkat awal kerjaya aku. Kepada isteri aku Tatia dan anak-anak kami, Jake dan Tyler, terima kasih banyak kerana menjadi penyokong dan kekuatan aku semasa waktu senang dan susah,” sambung Rea.
“Kepada semua saingan dan pesaing aku sepanjang kerjaya aku, terima kasih kerana membuatkan aku menggali lebih dalam. Aku menjadi pelumba yang lebih baik kerana kalian. Kepada semua peminat aku, terima kasih atas sokongan dan kesetiaan luar biasa kalian. Semua sokongan semasa senang dan susah benar-benar membantu aku dan memberikan aku kerjaya yang aku impikan.
“Walaupun aku menarik diri daripada perlumbaan sepenuh masa, ini bukan selamat tinggal. Aku akan sentiasa menjadi sebahagian daripada sukan ini, cuma dalam cara yang berbeza. Jadi, dari lubuk hati aku, terima kasih untuk segalanya. Ianya merupakan satu perjalanan yang hebat. Jumpa di paddock.”