Castrol dan Honda Berkerjasama dalam Cub Prix Malaysia
Motosikal perlumaan Honda telah dihiasi dengan beberapa corak warna yang terkenal pada masa lalu, tetapi ada satu yang ikonik: Warna Castrol. Oleh itu, tradisi ini diteruskan dengan Castrol sebagai penaja utama pasukan perlumbaan pengilang Honda. Kerjasama ini meluas ke Malaysia apabila Castrol dan Honda bekerjasama untuk Kejohanan Malaysian Cub Prix, selain memberikan sokongan kepada Pasukan Pengilang Honda HRC Castrol dalam MotoGP.
Castrol dan Honda
Sebelum kami teruskan, kami yakin peminat lama World Superbike masih mengingati dengan penuh nostalgia Honda RVF750 (RC45) berwarna Castrol yang berlumba dalam Kejohanan World Superbike pada pertengahan abad 90-an. John Kocinski kemudiannya meraih gelaran dunia dengan motosikal tersebut pada tahun 1997.
Colin Edwards kemudian mengulangi kejayaan itu dengan meraih dua gelaran, pada tahun 2000 dan 2002, menunggang Honda VTR1000 SP1 (RC51) berwarna Castrol. Era tersebut boleh dikatakan sebagai Zaman Keemasan perlumbaan Superbike.
Kembali ke masa kina
Kini, Castrol dan Boon Siew Honda Malaysia telah bekerjasama sebagai penaja utama pasukan CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING, yang akan bertanding dalam Kejohanan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025.
Beralih ke kemuncak perlumbaan motosikal di atas litar berturap, Castrol dan Honda terus bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk pasukan kilang Honda HRC Castrol dalam Kejuaraan MotoGP.
DARIPADA SIARAN AKHBAR
Castrol, peneraju teknologi pelincir termaju global, mengumumkan perkembangan terbaru dalam portfolio perlumbaan motosikalnya, iaitu pelantikan penunggang baharu untuk pasukan CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING yang akan bersaing dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia, serta permulaan kerjasama menarik dengan pasukan Honda Racing Corporation (HRC) Factory MotoGP.
Inisiatif selari ini mengukuhkan lagi komitmen Castrol terhadap inovasi, prestasi, dan sokongan kepada bakat, sama ada di litar perlumbaan tempatan mahupun antarabangsa.
Castrol akan menjadi penaja utama dan rakan teknikal pasukan Honda Racing Corporation (HRC) Factory MotoGP bagi musim MotoGP 2025. Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Castrol akan membekalkan pelincir dan bahan api, serta menyediakan sokongan teknikal kepada pasukan itu. Kerjasama ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan jangka panjang antara Castrol dan Honda, memperkukuhkan lagi komitmen bersama mereka terhadap kecemerlangan dalam sukan permotoran.
Pasukan Honda HRC Castrol yang baru dinamakan ini telah membuat penampilan sulung mereka semasa ujian pra musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 Februari 2025, dengan permulaan rasmi musim pada 2 Mac di Buriram, Thailand.
“Castrol mempunyai sejarah panjang dalam menggunakan sukan permotoran untuk mempamerkan keupayaan teknikal dan teknologi baharu yang dibangunkan bersama. Kerjasama ini merupakan peluang terbaik untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan para peminat perlumbaan motosikal dan peminat jentera dua roda di seluruh dunia,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Castrol, Sandeep Sangwan.
“HRC dan Castrol berkongsi komitmen padu terhadap prestasi dan inovasi. Kami pernah mencapai kejayaan besar bersama sebelum ini, maka tidak hairanlah jika kami memilih untuk memperbaharui kerjasama ini,” jelas Presiden Honda Racing Corporation, Koji Watanabe.
Di arena tempatan, CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING memperkenalkan barisan penunggang baharu mereka menjelang Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas MAM 2025, pada 19 dan 20 April di Litar Antarabangsa Sepang (Utara), Selangor. Pasukan itu mengalu-alukan dua penambahan terbaru, iaitu Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin dan Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz, yang akan menyertai penunggang sedia ada Aqeel Danish Zaiermanhady untuk berentap dalam persaingan hebat kategori CP125.
Haziq Hakimy dan Aisy masing-masing membawa pencapaian cemerlang daripada Honda One Make Challenge, di mana Hakimy berjaya menamatkan persaingan di tempat ketiga pada tahun 2022 dan Aisy pula pernah muncul naib juara pada tahun 2021. Kehadiran mereka menandakan permulaan baharu dan semangat padu untuk merebut kedudukan podium pada musim ini, susulan kejayaan Md Haziq Hamdan meraih tempat ketiga dalam pusingan kesembilan musim 2024.
“Kami optimis dengan barisan baharu musim ini dan yakin bahawa ketiga-tiga pelumba akan menunjukkan prestasi luar biasa dan menjadi pencabar utama untuk merebut podium,” kata Pengurus Pasukan CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini. “Prestasi latihan mereka baru-baru ini sangat memberangsangkan, dan kami percaya pasukan ini akan mencapai keputusan cemerlang sepanjang musim,” katanya.
Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura, Keow Mei-Shan menambah, “Barisan penunggang baharu ini mencerminkan komitmen kami terhadap usaha memupuk bakat-bakat baharu, di samping terus berusaha mencapai kejayaan di litar perlumbaan. Kami sangat gembira dengan penyertaan Aqeel, Haziq Hakimy, dan Aisy untuk mewakili pasukan CASTROL POWER1 HONDA YUZY RACING.”
Daripada pentas utama MotoGP hingga ke litar kebangsaan Malaysia, Castrol POWER1 terus menjadi pemacu kecemerlangan perlumbaan, menawarkan perlindungan enjin unggul, prestasi optimum, dan keyakinan setiap kali menunggang.
Dengan jalinan kerjasama baharu global bersama Honda HRC dan pasukan lumba yang bersemangat tinggi, Castrol bersedia untuk menempa sejarah dalam sukan permotoran motosikal pada musim 2025.