FEMA Jumpa Pad Brek yang Gunakan Asbestos Dijual Dalam Talian
Kami telah berkali-kali menegaskan: Jangan sekali-kali, SECARA MUTLAK, berkompromi dalam hal komponen dan produk berkaitan keselamatan. Ini terutama benar apabila memesan bahagian murah dari penjual dalam talian. Sebagai bukti, Persekutuan Persatuan Penunggang Motosikal Eropah (FEMA) telah menemui pad brek yang mengandungi asbestos dijual melalui AliExpress.
Pad brek dan kasut brek (untuk brek dram) tersebut dihasilkan oleh Tanaki dan Zhangxingyue. Semua produk yang dinyatakan dalam tindakan itu dihasilkan di China, dan kesemuanya gagal mematuhi peraturan REACH (Pendaftaran, Penilaian, Kebenaran dan Sekatan Bahan Kimia). Garis panduan ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada terdedah kepada bahan berbahaya dan untuk melindungi alam sekitar.
Bahan ini sangat baik untuk menyerap haba, sebab itulah ia digunakan dalam pad brek, dan ia juga tahan api, menjadikannya sesuai untuk pakaian kebakaran. Namun, debunya sangat berbahaya jika disedut kerana boleh menyebabkan mesothelioma dalam paru-paru. Mesothelioma adalah sejenis kanser yang bermula sebagai pertumbuhan sel abnormal pada lapisan tisu nipis yang meliputi banyak organ dalaman. Debu asbestos tidak boleh disingkirkan dari badan, justeru ia akan kekal dalam paru-paru untuk tempoh yang lama.
Satu-satunya nasihat yang boleh kami berikan buat masa ini adalah untuk sentiasa menuntut pad brek dan kasut brek yang bebas asbestos apabila anda menukarnya. Selain itu, elakkan dan jangan sedut debu brek ketika mekanik atau anda sendiri membersihkan brek motosikal dengan udara mampat.

Asbestos telah diharamkan di banyak negara di seluruh dunia, termasuk Kesatuan Eropah dan Malaysia sejak tahun 1999. Walaubagaimanapun, pengharaman ini meliputi aspek penggunaan asbes yang berbeza. Sebagai contoh, walaupun penggunaan asbestos telah diharamkan di A.S. dan Eropah, Malaysia hanya mengharamkan bahan tersebut daripada bahan binaan di hospital, klinik, sekolah, dan bangunan kerajaan. Sehingga 2025, pihak berkuasa Malaysia masih berusaha ke arah pengharaman sepenuhnya.